Tuesday, August 17, 2010

Kelebihan Ramadhan

Puasa, antara kaedah yang berkesan untuk melatih diri melawan hawa nafsu dan menyucikan jiwa supaya sentiasa berada di atas landasan agama. Kerana orang yang berpuasa akan menjaga lidahnya dari menuturkan sesuatu yang lagha, mengumpat, menghina, menimbulkan perselisihan ataupun kemarahan orang lain. Puasa menegah seseorang dari melakukan dosa-dosa besar dan perbuatan buruk seperti menipu, terlibat dengan riba, rasuah dan memakan harta anak yatim walau dengan apa cara sekalipun. Ibadah puasa menjadikan seseorang muslim bergegas melakukan kebaikan seperti mendirikan sembahyang, menunaikan zakat melalui saluran yang betul, menghulurkan sedekah dan menunaikan amalan-amalan sunat yang lain. Kesan dari berpuasa, seseorang itu menjalani kehidupannya hanya dengan unsur-unsur yang baik dan halal serta berusaha menjauhkan diri dari sebarang bentuk dosa dan kejahatan.

Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk berjihad di jalan Allah s.w.t. Pada bulan inilah sebilangan besar kemenangan kaum muslimin dapat diraih. Ramadhan 2H misalnya, umat Islam beroleh kemenangan dalam Peperangan Badar. Begitu juga dalam Peperangan Khandaq pada Ramadhan 5H berikutnya. Disusuli dengan Pembukaan Kota Mekah pada Ramadhan 8H dan kemenangan dalam Peperangan Tabuk pada Ramadhan 9H.

Sabda Rasulullah s.a.w, mafhumnya,
Allah s.w.t berkata, "setiap amalan anak Adam itu adalah untuk dirinya sendiri melainkan ibadah puasa. Kerana puasa itu untukKu dan Akulah yang membalasnya".
Puasa itu sesungguhnya adalah syurga. Oleh itu, jika salah seorang dari kamu berpuasa serta tidak mengucapkan hal-hal yang tidak baik dan tidak memperlekehkan orang lain pada hari tersebut, dan sewaktu dirinya dihina atau diganggu, maka dia akan berkata "Sesungguhnya aku sedang berpuasa".
Demi jiwa Muhammad yang berada dalam genggamanNya, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih menyenangkan di sisi Allah pada Hari Kiamat kelak berbanding haruman misk.
Dan bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, iaitu apabila dia berbuka, maka dia gembira dengan berbuka puasanya dan apabila dia bertemu Tuhannya, dia juga gembira dengan puasanya - Muttafaqun 'alayh.
Sabda baginda s.a.w lagi, mafhumnya,
Sesungguhnya di syurga itu terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan. Melalui pintu ini, orang-orang yang berpuasa masuk ke syurga pada Hari Kiamat kelak dan tiada seorang pun yang bukan dari kalangan mereka akan melalui pintu tersebut. Saat itu kedengaran suatu panggilan, "Dimanakah orang-orang yang berpuasa?" Lalu mereka bangun tanpa disertai oleh orang tidak segolongan dengan mereka. Maka, setelah kesemua mereka masuk, pintu itupun tertutup dan tiada seorang pun yang dapat melaluinya selepas itu - Riwayat Sahih dan Bukhari
Sabda baginda s.a.w, mafhumnya,
Barangsiapa yang berpuasa di Bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan, maka diampunkan dosanya yang telah dilakukan - Riwayat Sahih dan Bukhari
Sabda Rasulullah s.a.w, mafhumnya,
Berpuasa dan membaca Al-Qur'an adalah dua ibadah yang akan memberi syafaat kepada seseorang hamba. Ibadah puasa akan memohon, "Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menahan dirinya dari makanan dan syahwat di siang hari. Oleh itu syafaatkanlah dia" Sementara Al-Qur'an berkata, "Aku pula telah menahan dirinya dari tidur sepanjang malam. Oleh itu syafaatkanlah dia". Lalu, syafaat pun diberi kepada hamba tersebut - Riwayat Ahmad

No comments:

Post a Comment