Thursday, February 4, 2010

Al-Azhar


Logo rasmi Universiti Al-Azhar

Sejarah Universiti Al-Azhar bermula pada era kerajaan Fatimiyyah. Golongan ini merupakan salah satu dari cabang keturunan Ismail bin Ja’far Al-Sadiq yang meninggal dunia pada tahun 413H. Nasab mereka bersambung kepada Zainal Abidin ibn Husain bin Ali r.anhum. Dasar Fatimiyyah menyatakan bahawa golongan merekalah yang paling berhak memegang khilafah selepas baginda Rasul s.a.w wafat, seperti mana yang diwasiatkan oleh baginda Nabi kepada Ali, suami kepada anakandanya, Fatimah. Zaman pemerintahan Muizuddin Al-Fatimiy (319-365H/931-975M) dianggap zaman emas bagi kerajaan ini.

Jawhar Al-Saqliy telah dilantik menjadi ketua tentera Fatimiy di Mesir dan mengasaskan Masjid Al-Azhar pada 24 Jamadil Awwal 359H bersamaan April 970M. Solat Jumaat pertama yang ditunaikan di masjid ini ialah pada 7 Ramadhan 361H. Binaannya pula siap sepenuhnya pada 17 Ramadhan 361H bertepatan 22 Jun 972M, setelah mengambil masa selama dua tahun. Masjid ini dinamakan Al-Azhar sempena nama Fatimah Al-Zahra''. Ia dibina dengan tujuan untuk menjadi masjid khusus bagi mazhab dan dakwah golongan Fatimiy yang tidak sealiran dengan ajaran mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah. Beberapa persidangan dewan rakyat juga diadakan di masjid ini untuk para pemimpin kerajaan ini berbincang mengenai segala masalah yang mereka hadapi. Beliau mengumpulkan orang Islam pada setiap Hari Jumaat, mengajar hal-hal dunia dan agama di samping menyampaikan peraturan dan undang-undang yang dikeluarkan oleh hakim. Jelas sekali, peranan masjid suatu masa dahulu bukan hanya sekadar rumah ibadah, malah lebih dari itu.


Pada zaman Salahuddin Al-Ayyubiy (1137-1193M), Al-Azhar ditutup selama seratus tahun berikutan kedudukannya sebagai markaz orang-orang Fatimiy. Sewaktu pemerintahan Uthmaniy pula, kerajaan mengarahkan supaya kitab-kitab, makalah, tulisan ilmiah dan ulama’dikirimkan ke Turki dan kemudian mengutuskan beberapa orang syaikh ke Azhar untuk menyandang jawatan penting. Berikutan itu, institusi Al-Azhar menjadi lemah akibat tindakan kerajaan. Ketika berada di bawah jajahan Perancis, para pelajar yang menuntut di Al-Azhar memilih sendiri subjek yang ingin dipelajari dan menghadiri sesi muzakarah sekerap mana yang dimahukan. Jika gurunya merasakan ilmu pelajar tersebut telah mantap dan layak digelar sebagai ilmuwan Al-Azhar, pelajar itu akan diajukan, samada menjadi pensyarah di institusi tersebut, menjadi pegawai kerajaan, menjadi imam di masjid ataupun bertugas di bahagian perundangan.

Masjid Al-Azhar

Pada masa itu, tidak terdapat sebarang peperiksaan seperti yang ada pada hari ini. Sesi muzakarah dibuka kepada setiap umat Islam yang ingin menimba ilmu dan tiada sebarang ijazah yang dikeluarkan. Pada zaman Sheikh Muhammad 'Abduh, gaji guru adalah tidak tetap. Pelajaran pula tidak mempunyai jadual khas mahupun daftar kehadiran dan tidak ada masa yang ditetapkan untuk peperiksaan. Ketika pemerintahan Muhammad Ali, Al-Azhar yang sedang meningkat maju diabaikan kerana beliau khuatir dengan kebangkitan ulama Al-Azhar yang menentangnya, malah bertindak meretakkan kesatuan institusi tersebut.

Dasar ini diteruskan sehingga tiba zaman Al-Khadiyu Ismail, beliau menetapkan sistem pertama Al-Azhar pada tahun 1288H (1872M) untuk mengaturkan perolehan ijazah kepada penuntut. Sistem ini juga menghadkan mata pelajaran yang akan diambil dalam peperiksaaan kepada 11 mata pelajaran. Ia meliputi subjek Fiqh, Usul, Hadith, Tafsir, Tauhid, Nahu, Sarf, Ma'aniy, Bayan, Badi' dan Mantiq. Sesi pengajiannya diasingkan kepada dua penggal. Penggal pertama yang berlangsung selama lapan tahun dan tamat dengan Ijazah Sarjana Muda dan penggal kedua pula pada empat tahun berikutnya dengan dianugerahkan Ijazah Sarjana.

Universiti Al-Azhar

Namun, sejak kedatangan Dunlop sebagai penasihat pelajaran, beliau berusaha untuk menguburkan Azhar dengan menubuhkan institusi pendidikan baru dan menawarkan para penuntutnya jawatan dan pekerjaan yang terjamin serta gaji yang lumayan. Oleh itu, para ibu bapa lebih mementingkan tawaran institusi tersebut, demi menjamin masa hadapan anak-anak mereka, dan secara tidak langsung mengabaikan kewujudan Al-Azhar.

Keadaan ini berterusan sehinggalah Al-Azhar kemudian kembali berkembang dan menyaingi institusi baru tersebut dengan menerapkan ilmu akademik. Dengan ini, Al-Azhar menjadi sebuah universiti yang menawarkan pengajian akademik di samping pengetahuan agama. Menurut Rasyid Rida, “Apa yang menggembirakan ialah, tahun demi tahun kami melihat kejayaan dalam pemulihan dan pembaharuan Al-Azhar Al-SharÄ«f . Kejayaan ini tidak dirasai, melainkan oleh penuntut ilmu yang menerima pelajaran baru di Azhar seperti Matematik dan Geografi”.

No comments:

Post a Comment