Friday, January 8, 2010

Penjagaan Utama

Seperti yang diketahui, arnab adalah haiwan yang sensitif pada persekitarannya. Sebarang perubahan cuaca, tempat tinggal, makanan, hatta pemilik baru sekalipun mungkin bakal menyebabkan arnab kesayangan mengalami stress @ monyok!

Demi mengelakkan situasi ini, luangkan sedikit masa untuk memastikan penjagaan asas mereka dilakukan dengan sempurna..
  • Makanan: Pastikan bekas makannya bersih sebelum memasukkan makanan. Hindari dari memberi sayuran yang mengandungi banyak air kerana berkemungkinan akan menyebabkan arnab mengalami cirit birit. Situasi ini, jika berterusan selama sehari atau lebih boleh membawa kepada kematian bagi arnab yang masih kecil.
  • Minuman: Bekalkan arnab dengan air yang bersih. Sekurang-kurangnya air yang ditakung semalaman (bukan diambil terus dari paip) untuk mengelakkan klorin yang fresh! Pastikan bekas atau botol minumnya sentiasa bersih dari bendasing.
  • Sangkar: Operasi membersih kediaman mereka dilakukan setiap hari dengan sempurna. Kekotoran di bahagian lantai, misalnya boleh menyebabkan kaki arnab berkudis.
  • Persekitaran: Lindungi arnab dari terdedah kepada suhu yang terlampau panas, juga terlampau sejuk. Satu sumber menyatakan bahawa suhu ideal bagi arnab adalah sekitar 22-24'c.
  • ICU: Jauhkan anak-anak arnab yang baru lahir dari arnab jantan. Seperti kucing, arnab jantan dewasa mungkin akan memakan anak-anak tersebut jika dibiarkan dan induk arnab hanya akan menyusukan anaknya apabila dirasakan keadaan sekitarnya selamat.
Jika mahu membelai arnab kesayangan, elakkan dari mengangkat mereka dengan memegang telinganya sahaja. Walaupun haiwan ini terkenal dengan jolokan 'si telinga panjang', namun anggota tersebut bukanlah berfungsi untuk menahan berat tubuhnya. Malah situasi ini mungkin menyebabkan tangan si pemegang dicakar dengan kuku kakinya ketika ia meronta. Cara yang betul ialah dengan sebelah tangan memegang kulit bahunya, atau bahagian atas badannya dan sebelah lagi menampung berat badannya di bawah. Perlu diketahui bahawa telinga arnab mempunyai banyak urat saraf dan kadangkala ia mengimbangi suhu badannya dengan merendamkan telinganya dalam bekas minum.

No comments:

Post a Comment